Friday, 26 August 2016

MADU


Sesuatu yang disukai tetapi tidak mudah didapati. Ini yang dapat diperkatakan mengenai khazanah alam yang paling berharga iaitu MADU. Ramai yang menyukai tetapi susah untuk diperolehi terutama madu yang original yang tidak dicampur dengan bahan-bahan yang lain. Banyak madu yang dijual sekarang mempunyai campuran-campuran lain dan kebanyakan pembeli tidak dapat membezakan antara madu yang asli dan tidak. Dengan adanya artikel-artikel daripada blog ini diharapkan pembaca mendapat info-info yang benar mengenai khazanah alam ini. Untuk permulaan blog ini saya ingin menerangkan serba sedikit mengenai madu dan juga info-info yang berkaitan untuk pengetahuan para pembaca. Segala info pada blog ini diambil daripada suber-sumber sahih dan artikel-artikel terdahulu dan diolah dengan cara tersendiri yang saya dapat melalui pembacaan dan juga di sini saya akan ceritakan pengalaman sendiri sepanjang berkecimpung dalam bidang ini.


Madu adalah satu cairan manis yang dihasilkan daripada lebah yang dikumpul dari pelbagai bunga-bunga ataupun nektar bunga yang terdapat di seluruh hutan sama ada hutan yang tebal ataupun tidak. Hasil ini akan membentuk sumber utama makanan bagi lebah. Madu dikumpulkan di dalam kom sarang lebah dan akan digunakan oleh lebah pada waktu-waktu kritikal. Madu telah digunakan dari dulu lagi sebagai perasa atau pemanis di dalam makanan dan minuman. Rasa manis madu adalah disebabkan oleh unsur gula yang dipanggil monosakarida fruktosa dan glukosa. Ia memiliki rasa manis yang hampir sama dengan gula. 

Di Malaysia, lebah yang paling banyak menghasilkan madu adalah lebah lical (Apis cerana), lebah tualang/hutan liar (Apis dorsata) dan lebah Eropa (Apis melifera). Rasa atau warna ditentukan oleh sumber nektar ataupun jenis bunga yang dihisap dari hutan sekeliling. Antara kandungan  yang terdapat dalam madu adalah campuran dari gula dan senyawa lainnya. Selain kaya dengan karbohidrat, kadungan lain yang terdapat dalam madu ialah fruktosa (sekitar 38,5%) dan glukosa (sekitar 31,0%). Kandungan ini mirip dengan sirap gula terbaik yang mengandungi sekitar 48% fruktosa, 47% glukosa, dan 5% sukrosa. Karbohidrat yang terdapat dalam madu termasuklah maltosa, sukrosa dan karbohidrat kompleks lain. 
Madu mempunyai ciri-ciri kimia yang sangat menarik yang tidak boleh didapati pada bahan lain. Seperti semua pemanis bergizi yang lain, madu sebagian besar mengandungi gula dan hanya mengandungi sedikit jumlah vitamin atau mineral seperti natrium, kalsium, magnesium, alumunium, besi, fosfor dan kalium. Vitamin-vitamin yang ada dalam madu adalah thiamin (B1), riboflavin (B2), asid askorbat (C), piridoksin (B6), niasin, biotin, asid folat, vitamin K dan banyak lagi. Madu juga mengandungi sejumlah kecil dari beberapa senyawa yang dianggap berfungsi sebagai antioksidan. Kebanyakan mikroorganisma tidak dapat hidup ataupun berkembang di dalam madu kerana madu mempunyai kandungan air yang sangat rendah.Kandungan yang terdapat di dalam madu bergantung pada bunga yang tersedia untuk lebah yang menghasilkan madu.

3 comments: