Kita selalu mendengar bahawa sakit
itu rahmat dan penghapus dosa.
Tidaklah seorang muslim ditimpa
sakit melainkan dengannya Allah akan menggugurkan kesalahan-kesalahannya
sebagaimana daun pohon yang berguguran’ - Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari
Akan tetapi, semua manusia
mengimpikan kesihatan yang baik sepanjang masa. Kesihatan adalah satu nikmat
yang paling tinggi nilainya yang dikurniakan Allah s.w.t kepada umat-Nya. Jika
kita mengabaikan kesihatan, maka kita telah mengabaikan sebuah kekayaan, nikmat
yang sangat besar diberikan oleh Allah kepada manusia. Inilah anugerah besar
yang perlu dijaga dan dipertahankan sehingga akhir ayat. Bagaimanapun ramai tidak
menjaga kesihatan yang diberi dengan mengambil makanan-makanan yang tidak
berkhasiat yang boleh memberi mudarat kepada tubuh badan manusia.
Salah satu cara yang dapat kita
lakukan untuk menjaga kesihatan tubuh badan adalah dengan mengamalkan pengambilah
makanan sunnah seperti kurma, delima, zaitun, tiin, madu, habatussauda dan air
zam-zam. Di sini saya ingin tekankan makanan sunnah MADU.
“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada
lebah: “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di
tempat-tempat yang dibina oleh manusia”. Kemudian makanlah dari tiap-tiap
(jenis) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu).
Dari perut lebah itu keluar minuman (madu lebah) yang bermacam-macam warnanya,
di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada
yang demikian itu benar-benar terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang-orang
yang berfikir.”
(Q.S. An-Nahl : 68-69)
Dalam firman di atas secara
terang-terangan Allah menyebut kelebihan madu di mana madu lebah dapat
menyembuhkan segala penyakit bagi manusia. Selain itu juga terdapat beberapa
Hadis khusus berkaitan kelebihan madu terutamanya dari segi perubatan.
Sabda Rasulullah S.A.W.
Daripada Abu Said Al’Kudri r.a.
katanya:
“Seorang lelaki telah datang kepada
Rasulullah S.A.W. lalu ia berkata, “Saudaraku sakit perut sehingga dia
buang-buang air”, Sabda Rasulullah SAW. “Minumlah madu lebah kepadanya”:
Lalu diminumkan madu kepadanya. Kemudian dia datang balik kepada Rasulullah
S.A.W lalu katanya ” Telah ku minumkan madu kepadanya tetapi sakitnya bertambah”,
Rasulullah S.A.W pula menyuruhnya meminumkan madu supaya berulang tiga kali.
Dia datang lagi untuk kali keempat. Nabi S.A.W. terus menyuruhnya supaya
meminum madu, Kata orang itu, “Aku telah menyuruhnya meminumnya Ya Rasulullah,
namun sakitnya bertambah juga”. Sabda Rasulullah S.A.W. “Allah Maha Besar,
perut saudaramu itulah yang dusta”. Lalu diminumnya pula madu, maka sembuhlah
saudaranya”.
Hadis yang kedua disebutkan oleh Ibn
Abbas bahawa Rasulullah bersabda “Ubat terbahagi tiga: minum madu lebah, berbekam
dan membakar dengan api. Dan umatku dilarang membakar dengan api”.
(Riwayat Bukhari)
Amalan Rasulullah S.A.W. dengan madu
lebah.
Kitab “Zad al-Ma`ad Fi Huda Khair
al-Ibad” ada menyebutkan bahawa Rasulullah meminum madu sebelum makan sarapan
pagi di bantu dengan air. Di dalam kitab hadis al-Sunan Ibn Majah pula
disebutkan hadis marfu’ riwayat Abu Hurairah yang berbunyi “Sesiapa yang
makan madu tiga kali sebulan pada waktu pagi, dia tidak akan ditimpa penyakit
berat”. Di dalam kitab itu juga disebutkan juga Nabi Muhammad s.a.w. bersabda “Barang
siapa menjilat madu dengan air liurnya sebanyak tiga kali makan pagi setiap
bulan, dia tidak akan kena bencana (penyakit) yang berat”.
Ada juga disebutkan dalam hadis yang
lain, bahawa Nabi s.a.w bersabda “Berubatlah kamu dengan dua jenis ubat yakni
madu dan al-Quran”.
Kehebatan madu sebagaimana disampaikan
Al-Quran telah terbukti secara saintifik dan dibahaskan secara ilmiah di
seluruh dunia.
Sayyid Quthb mengungkapkan, madu
lebah sebagai ubat penyembuh penyakit sudah dibuktikan secara ilmiah oleh para
pakar perubatan. Inilah salah satu bukti kebenaran ayat Al-Quran yang wajib
diyakini umat manusia.
Ibnu Sina (890-1037), salah seorang
tokoh kedoktoran dunia dan ilmuwan Islam di abad ke-10 Masihi, mengulas
mengenai khasiat madu lebah dari segi kesihatan di dalam dunia
kedoktoran. Ia mampu dapat menyembuhkan berbagai penyakit dari yang ringan
sampai yang berat, seperti tekanan darah tinggi dan jantung. Madu juga dapat
menurunkan suhu badan serta menyediakan dan mengatur rembesan, sehingga dapat
menghilangkan penyakit demam.
Dengan adanya hadis yang sahih dan
kajian dalam perubatan dapat kita simpulkan di sini bahawa madu merupakan
makanan sunnah yang mempunyai banyak kelebihan dan khasiatnya yang tersendiri
sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Pengambilan madu lebah sangat
disarankan kepada semua sebagai satu cara untuk mengekalkan kesihatan yang
baik.